MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Darah jenis Bombay kritikal

Kuala Lumpur: Bekalan darah ganjil atau Bombay Type Blood sukar diperoleh memandangkan hanya satu peratus daripada populasi penduduk negara ini mempunyai kumpulan darah itu.

Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara (PDN) Nur Izzati Izhar berkata, walaupun Tabung Darah Negara mencukupi ketika ini, namun sumbangan darah itu diperlukan untuk pesakit kepada golongan berkenaan.

“Melalui kempen kesihatan dan derma darah diharap mengumpul bekalan darah Bombay yang mana ia sukar diperoleh.


 

“Secara keseluruhannya, bekalan darah biasa seperti B, AB dan O adalah mencukupi namun darah ganjil Bombay ini yang kita perlukan untuk membantu pesakit daripada golongan tersebut,” katanya selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Kesihatan dan Derma Darah Negara 2017, di Medan MARA, semalam.

Kempen Kesedaran Kesihatan dan Derma Darah Negara 2017 dianjurkan Persatuan Insuran Hayat Malaysia (LIAM) dirasmikan Penolong Gabenor Bank Negara Abu Hassan Al Shari Yahaya.

Menurut Nur Izzati, melalui kempen di Wilayah Persekutuan diharap mengumpul 200 bekalan darah yang mampu memberi manfaat kepada pesakit.

“Kami menggalakkan masyarakat membantu menambah bekalan darah kerana hayat setiap beg darah hanya boleh bertahan tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden LIAM Toi See Jong berkata, kempen yang dianjurkan bertujuan menggalakkan orang ramai menderma darah sekali gus memastikan bekalan darah mencukupi di seluruh Malaysia.

“Melalui kempen ini, diharap bekalan darah mencukupi lebih-lebih lagi menampung bekalan yang sedikit menjelang musim perayaan,” katanya.

Kempen derma darah kini dijalankan di 52 lokasi bermula semalam sehingga 29 September ini. Orang ramai yang berminat boleh melayari www.liam.org.my
untuk mengetahui lokasi dan tarikh kempen derma darah diadakan di seluruh negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro