MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Gambaran jihadis

Kuala Lumpur: Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) mendapati ada usaha pihak tertentu cuba mengelirukan fakta mengenai krisis kemanusiaan di Myanmar dengan menggambarkan etnik Rohingya sebagai pengganas dan jihadis.

Presiden JUST Dr Chandra Muzaffar berkata, mereka mula mengadakan naratif seperti itu kerana ada sesetengah pihak sangat sensitif dengan istilah jihadis.

“Mereka cuba memberi gambaran, (Rohingya) ini sebenarnya jihadis, walhal mereka mangsa kezaliman luar biasa. Jika kita tengok pada apa yang dilakukan di Myanmar dan cara minoriti ini dijadikan mangsa, ia luar biasa dan benar-benar jenayah.


 

“Justeru, kami mahu semua pihak faham, hal ini bukan jihadis. Kami mahu rakyat di negara ini dan seluruh dunia memahami masalah Rohingya dan Kachin. Bukan mereka yang mengakibatkannya.

“Puncanya adalah tentera, penafian hak asasi, pembunuhan yang berlaku dan penyingkiran dari kampung halaman mereka,” katanya sempena persidangan Permanent Peoples’ Tribunal mengenai jenayah terhadap Rohingya, Kachin dan minoriti lain di Myanmar, di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, di sini, semalam.

Persidangan tribunal itu diusahakan Permanent Peoples’ Tribunal yang beribu pejabat di Rom, Itali dan dikelolakan JUST, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) serta Forum Antarabangsa Hubungan Buddha-Muslim (BMF).

Chandra yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan tribunal itu berkata, pihaknya menganggap ia sebagai proses penting dalam memperkuatkan saluran perundangan untuk menghukum kerajaan Myanmar dan tentera yang menzalimi Rohingya dan minoriti lain termasuk Kachin yang kebanyakannya Kristian.

“Saya anggap ia sebagai satu daripada penyelesaian dalam masalah ini. Sebab dari segi punca, mereka dinafikan hak kewarganegaraan. Ini soal undang-undang. Ini kerana sebelum 1982 mereka adalah warga negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pendakwa Raya Azril Mohd Amin berkata, pihaknya membentangkan pelbagai bukti untuk memastikan berlaku tindakan tegas terhadap kerajaan Myanmar pada persidangan pertama tribunal itu di London, Mac lalu.

“Ini kesinambungan daripada sesi kali pertama. Kami membentangkan pelbagai bukti. Apa yang berlaku, jenayah kemanusiaan, pembunuhan, pengusiran, rogol dan jenayah seksual.

“Jadi, yang kami nak lakukan sekarang ialah meneruskan dan menutup sesi ini untuk mendapatkan satu keputusan daripada hakim. Panel hakim bersidang pada Khamis ini bagi perbincangan mendalam elemen jenayah itu.

“Kemudian, kami mahu supaya pada Jumaat nanti, apabila ada keputusan, mereka mengesyorkan juga tindakan kerana keputusan ini dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro