MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Kayuh lawan kanser

Kuala Lumpur: “Apabila saya disahkan menghidap kanser payudara tahap ketiga, perasaan terkejut dan dunia seakan-akan kiamat. Hanya kematian saja yang terbayang di kepala,” kata pesakit kanser payudara, Umi Salmah Hashim, 42.

Menurutnya, pada mulanya dia sukar menerima hakikat menghidap kanser tahap ketiga, namun disebabkan dorongan daripada ahli keluarga terutama suami menyebabkan dia terus bangkit melawan kanser payudara selepas didiagnos penyakit itu pada tahun 2012.

“Pada mulanya saya sedih, kecewa dan takut apabila disahkan menghidap kanser payudara namun saya perlu reda dengan ketentuan Allah SWT.


 

“Saya perlu bangkit demi anak-anak dan ikuti rawatan mamogram serta radioterapi yang disarankan oleh doktor sebaik disahkan menghidap penyakit ini,” katanya ketika ditemui pada program berbasikal sempena Kempen Reben Merah Jambu Wacoal 2017 di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Jalan Riong, semalam.

Malah, bagi Umi, walaupun dia menghidap kanser payudara, minat dan kesungguhan dalam sukan berbasikal menjadi dorongan buatnya untuk kekal sihat di samping memberi kesedaran dalam memerangi kanser payudara kepada masyarakat.

“Sebagai wanita, saya tahu kanser itu boleh membawa maut. Jadi, dengan menyertai kempen ini, ia dapat membuka mata masyarakat luar bahawa penyakit kanser payudara boleh diubati jika pemeriksaan awal dilakukan.

“Pesakit kanser payudara perlu berfikiran positif dan jangan sesekali menyalahkan takdir. Sebaliknya mereka perlu bangkit untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Umi antara 700 peserta program berkenaan anjuran syarikat pembuat pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia (Wacoal) Sdn Bhd dengan kerjasama NSTP.

PESERTA program berbasikal sempena Kempen Reben Merah Jambu Wacoal 2017 memulakan kayuhan di Balai Berita NSTP, Bangsar, semalam.

Peserta kayuhan basikal sejauh 25 kilometer bermula di Balai Berita, melalui beberapa laluan seperti Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan Persiaran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebelum berpatah balik ke NSTP dilepaskan oleh Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib, Pengarang Kumpulan New Straits Times, Yushaimi Maulud Yahaya dan Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Takashi Watanabe pada jam 8 pagi.

Seorang lagi peserta pesakit kanser, Ratnawati Abu Bakar, 45, berkata, penyertaan dalam program itu menunjukkan keprihatinannya memberi kesedaran untuk melawan kanser payudara.

“Saya menghidap kanser payudara tahap kedua sejak 2013. Alhamdulillah, kini saya sihat dan boleh bergiat aktif dalam bidang kesukanan hasil dorongan daripada ahli keluarga dan sahabat.

“Saya akan terus memberi mesej dan menyebarkan maklumat mengenai kesedaran membuat pengesanan awal kanser payudara,” katanya.

Sementara itu, Takashi berkata, pihaknya sangat berbangga dengan tahun keempat penganjuran program bersama NSTP itu.

“Program ini adalah tanggungjawab sosial korporat kami bagi mempromosi kempen reben merah jambu yang dijalankan setiap tahun selain meningkatkan kesedaran kanser payudara kepada masyarakat umum.

“Pihak kami akan terus melaksanakan perjuangan menentang kanser payudara untuk mengurangkan peningkatan jumlah pesakit kanser payudara yang menjadi pembunuh terbesar wanita di Malaysia,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro