MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Menang hasil batik sendiri

Kuala Lumpur: Kesungguhan sepuluh sekeluarga menunjukkan kreativiti dengan menggayakan pakaian bertemakan batik yang dihasilkan sendiri menarik perhatian juri apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang Pakaian Keluarga Paling Kreatif sempena acara Jalan Kaki Riang Ria Batik 2017, di sini, semalam.

Keluarga dari Selayang itu menggayakan corak batik yang sama sebelum berjalan beriringan sejauh 3.8 kilometer (km) menerusi acara jam 8.30 pagi yang bermula dan tamat di Balai Seni Negara itu.

Seorang daripada mereka, Raihan Ghazali, 32, berkata ia kali pertama mereka menyertai acara jalan kaki secara beramai-ramai sebagai satu cara memanfaatkan masa terluang pada hujung minggu.

“Kami melakukan persediaan seawal empat hari untuk menjahit dan menyiapkan pakaian bertemakan batik ini untuk menepati objektif acara berkenaan.

“Ini kali pertama kami empat beradik termasuk ipar dan sepupu menyertai acara jalan kaki secara beramai-ramai. Selain lebih meriah, ia juga menjadi peluang kami untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama menerusi aktiviti berfaedah dan menyihatkan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Acara yang berjaya menarik 3,200 penyertaan itu dimulakan pada jam 8.30 pagi apabila majlis pelepasan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) Datuk Leela Mohd Ali.

Program bertujuan mempromosikan batik itu anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PENYAYANG dan diuruskan Persatuan Minda Penyayang Malaysia (PMPM) serta Balai Seni Negara selaku penaja lokasi.

Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan sempena acara itu antaranya termasuk Peserta Paling Muda, Paling Tua dan Kumpulan Paling Ramai serta acara lain seperti Cabaran Kecergasan, kuiz dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Leela berkata, hasil kutipan daripada acara berkenaan akan disumbangkan kepada kumpulan sokongan kanser iaitu Penyayang Pesakit Kanser (PPK).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro