MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Urusan eksklusif BNM

Putrajaya: Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa tidak mempunyai pengetahuan peribadi berhubung keuntungan dan kerugian terperinci mana-mana urus niaga mata wang asing yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ketika menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, maklumat terperinci pengendalian urus niaga mata wang asing itu tidak pernah dimaklumkan kepadanya dari semasa ke semasa kerana BNM tidak mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk melaporkan kepadanya.

Mahathir juga mendakwa beliau tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan eksklusif BNM.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam Suruhanjaya Siasatan Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) 1990-an di Istana Kehakiman di sini, semalam.

Mahathir berkata, sepanjang pengetahuannya ketika menjadi Perdana Menteri, BNM menjalankan operasi dan tadbir urusnya secara bebas sebagai badan korporat di bawah Ordinan Bank Pusat 1958.

“BNM ketika itu mempunyai struktur pentadbirannya yang tersendiri dan diketuai oleh Gabenor. Gabenor pula mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan urusan bank kepada Lembaga Pengarah BNM.

“Lembaga pengarah pula mempunyai tanggungjawab terhadap semua isu polisi dan pentadbiran berkaitan kuasa dan urusan BNM. Saya sebagai Perdana Menteri tidak pernah mencampuri urusan dan pentadbiran BNM. Saya juga percaya saya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencampuri polisi, urusan dan pentadbiran BNM,” katanya.

Bagaimanapun kata Mahathir, ia tidak bermakna Gabenor BNM dalam mana-mana keadaan atau perjumpaan dengannya tidak pernah bercakap secara am berhubung institusi BNM itu.

Mahathir berkata, dalam ingatannya, laporan audit tahunan BNM bagi 1992 sudah dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet pada awal 1993.

“Mana-mana urus niaga mata wang asing yang dilakukan BNM pada setiap masa material menurut apa yang mereka percaya pada ketika itu sebagai tanggungjawab BNM untuk memelihara rizab negara dan nilai mata wang ringgit.

“Namun ulasan terperinci pengendalian urusan harian berhubung urus niaga mata wang asing itu tidak pernah dimaklumkan kepada saya dari semasa ke semasa kerana BNM tidak mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk melaporkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, dia hanya mempunyai pengetahuan seperti yang dibentangkan di dalam parlimen berhubung isu kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM bagi tempoh 1992 sehingga 1994.

“Ketika menjadi Perdana Menteri, saya tidak ada pengetahuan ataupun sebab untuk mengesyaki bahawa BNM menjalankan urusan bertentangan dengan kuasa yang diberikan.

“Sekiranya saya mempunyai apa-apa sebab untuk berfikiran sebaliknya, saya akan mengambil langkah yang perlu sebagai Perdana Menteri untuk mengenalpasti perkara itu,” katanya.

Menjawab berhubung perjumpaan dengan bekas Ketua Pembangkang yang juga bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Clifford Francis Herbert (bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia (1993-1997), berkata ia berlaku beberapa bulan selepas pembentangan laporan kewangan BNM 1992 di Parlimen pada April 1993.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sebarang maklumat berhubung kerugian BNM tidak dimaklumkan kepada saya sebelum laporan kewangan itu diaudit mahupun sebelum ia dibentangkan.

“Setakat ingatan saya, kedua-dua mereka ada secara lisan memberitahu kerugian yang dialami BNM berkaitan urus niaga mata wang asing tetapi saya tidak ingat angka RM30 bilion itu. Apa yang saya ingat adalah angka dalam lingkungan RM5 bilion,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro