MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Gesaan pesara kerajaan lawan isu 1MDB disambut dingin

Gesaan supaya tokoh penjawat awam yang bersara untuk bersuara dalam isu 1MDB gagal mendapat sambutan hangat kumpulan itu setakat ini.

Beberapa tokoh penjawat awam ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.
 
Kumpulan Melayu ternama G25 misalnya ketika diminta memberi reaksi terhadap gesaan pembangkang, menjelaskan bahawa pendirian mereka tidak memihak.
 
“Kumpulan kami kekal polos politik tetapi kami akan terus berkempen untuk reformasi sistem kerajaan bagi memastikan pihak di tampuk kuasa dipertanggungjawabkan untuk tindakan dan tingkah laku peribadi mereka,” jawab G25 melalui pesanan teks.
 
Parti Amanah Negara (AMANAH) kelmarin menyeru bekas-bekas pegawai kanan kerajaan bersuara dalam isu 1MDB yang disifatkan “penyelewengan negara paling besar sejak merdeka”.
 
Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata, alangkah baiknya jika kedudukan mereka dipandang tinggi dimanfaatkan untuk membela rakyat dan menegur kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Beliau merujuk langsung kepada pemegang beberapa jawatan termasuk bekas ketua polis, bekas peguam negara dan bekas, setiausaha negara dan bekas ketua turus tentera.
 
Mengulas isu itu, bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata perkara itu semata-mata cadangan Salahuddin.
 
“Semua ini hanya dakwaan, tiada bukti lagi. Jadi, apa yang dia mahu kita buat? Bercakap?
 
“Bercakap pasal apa?” katanya yang berkhidmat di Pejabat AF antara 1983 hingga 1993.
 
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu.
 
“Ini pandangannya. Kita boleh setuju atau tidak setuju,” kata Abu Talib kepada Malaysiakini.
 
“Ramai sudah bercakap, biar pihak berkuasa ambil perhatian pada kebimbangan rakyat Malaysia. Ini saja yang boleh saya katakan.”
 
Sementara itu, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed pula enggan mengulas gesaan itu buat masa ini.
 
“Biar saya baca artikel itu dulu, saya tiada komen (setakat ini),” katanya.
 
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram juga enggan mengulas isu itu ketika dihubungi.
 
- malaysiakini