MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

PKR mahu senarai projek dikendali ‘DBKL Official 1’

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menggesa Menteri Wilayah Persekutuan mendedahkan semua projek dikendalikan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa merasuah.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang projek tender terbuka boleh menimbulkan masalah apabila pembida menawarkan harga rendah tidak dapat menyiapkan projek mengikut masa ditetapkan.
 
Fahmi menyangkal dakwaan Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan itu dan mahu projek dikendalikan suspek ‘DBKL Official 1’ itu didedahkan.
 
“Saya mempelawa Tengku Adnan mengumumkan jumlah projek yang diberikan melalui tender terbuka dan rundingan terus membabitkan ‘DBKL Official 1’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata, cara pemerolehan kerajaan ialah melalui tender terbuka dan rundingan terus.
 
Fahmi mempersoalkan jika Tengku Adnan tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang komited kepada tender terbuka untuk membasmi rasuah.
 
“Adakah ini bermakna Ku Nan tidak setuju dengan PM dan presiden Umno yang lebih utamakan tender terbuka?
 
“Jika Ku Nan percaya tender terbuka mendatangkan masalah, adakah beliau mempunyai maklumat dan bukti mencukupi untuk mengubah dasar penting kerajaan?
 
“Ini kerana maklumat dan bukti berasaskan dasar adalah satu daripada asas kerajaan yang kami sahkan,” katanya yang mahu Ku Nan mendedahkan peratusan projek yang gagal disiapkan mengikut jadual.
 
Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah eksekutif DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ bersama dua pegawai kanan kerajaan lain dari Kelantan dan Melaka kerana disyaki menerima suapan, penyalahgunaan kuasa dan terbabit dalam pengubahan wang haram.
 
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, sistem pengisytiharan harta menteri kepada pihak berkuasa lebih tinggi dalam kementerian masing-masing tidak cukup bagus.
 
“Tengku Adnan kata beliau isytihar asetnya kepada perdana menteri setiap tahun, manakala Datuk Bandar Kuala Lumpur isytihar hartanya kepada ketua setiausaha negara.
 
“Sistem ini jelas tidak cukup dan perlu diperbaiki kerana ia gagal mengenal pasti dan mengelakkan pengumpulan harta yang didakwa dimiliki seorang ‘Datuk Seri’ dari DBKL (juga dikenali sebagai ‘DBKL Official 1’) yang ditahan SPRM minggu lalu,” katanya.

- freemalaysiatoday