MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Kuala Lumpur

Rangkul gelaran sulung

Kuala Lumpur: Pemain muda perseorangan lelaki negara Tan Jia Wei (gambar) berjaya merangkul kejuaraan sulung peringkat senior selepas menumpaskan pilihan keempat dari Brazil, Ygor Coelho pada perlawanan akhir Terbuka Poland semalam.

Jia Wei yang berjuang sejak pusingan kelayakan berjaya meneruskan rentak cemerlang dengan mencatat kemenangan 21-13, 20-22, 21-10 di Arena Ursynow.

“Pada set pertama saya mempamerkan permainan agresif dan tidak memberi ruang kepada pemain lawan (Coelho) untuk melakukan serangan namun di set kedua dia mula menerapkan corak permainan pantas. Saya terperangkap dengan permainan di jaring dan berasa kurang selesa,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu kembali menggunakan corak permainan agresif hingga memaksa lawan tidak mempunyai peluang untuk kembali bangkit.

“Memang saya berasa gembira kerana tidak jangka mampu mara ke perlawanan akhir dan meraih gelaran ini. Saya gembira kerana mempunyai jurulatih (Indra Wijaya) yang sentiasa memberi arahan dan tunjuk ajar sepanjang latihan serta kejohanan.

“Kejayaan ini juga ditujukan khas buat rakan sepasukan dan ibu bapa saya. Mereka sentiasa memberi sokongan padu kepada saya,” katanya yang menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai idola.

Jia Wei mengakui dia tidak pernah memenangi sebarang kejayaan ketika beraksi di kejohanan peringkat remaja, malah dia juga tiada dalam skuad Kejohanan Dunia tahun lalu.

“Selepas ini saya harap mampu untuk meneruskan aksi cemerlang pada Cabaran Antarabangsa Orleans di Perancis minggu depan (minggu ini),” kata Jia Wei.

Dia mula membuka mata peminat badminton apabila berjaya melepasi pusingan kelayakan di Masters Malaysia di Sibu Januari lalu dan mara hingga ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pemain negara Cheam June Wei 20-22, 21-10, 21-13 pada pusingan kedua.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro